Bagaimana buat Quiche yang sempurna di rumah

Salam Baker…

Resipi kita hari ni adalah Beef Pepperoni & Mushroom Quiche. Sebutan adalah ‘keesh’. Salah satu makanan dari negara Perancis walaupun ada sesetengah mengatakan ianya berasal dari negara German.Mana-mana negara pun tak apa kan? janji kita dapat buat di dapur rumah kita. lol

Apa Itu Quiche?

Quiche dikategorikan sebagai tat telur yang isinya divariasikan dengan pelbagai bahan ‘savoury’ seperti ayam, smoked beef, bayam, sosej dan lain-lain lagi. Sesuai dimakan dalam keadaan sejuk dan panas.

Seingat saya, kali terakhir saya makan quiche yang sedap pada tahun lepas, 2019. Masa tu, tengah tunggu penerbangan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur.Sementara tunggu nak depart, saya singgah kejap di kedai pink milik kak Suzana Salleh.

Seorang usahawan bakery yang berjaya.Saya percaya bukan mudah kak sue nak capai ke tahap sekarang tapi disebabkan sabar, Allah permudahkan segalanya. Tahniah kak sue! Saya doakan kak dan team ziq bakery akan terus maju.

InsyaAllah, saya doakan juga rakan-rakan baker yang lain dapat ikut jejak langkah seperti mereka-mereka yang berjaya ni.

4 Langkah Untuk Hasilkan Quiche

  1. Pie crust– lakukan ‘blind bake’ untuk elakkan crust menjadi lembab semasa memasukkan inti
  2. Sediakan filling– isi ayam, cendawan, daging pepperoni, keju atau apa-apa sayuran yang anda inginkan
  3. Creme royal– campuran antara susu dan krim yang menjadi ‘penyeri’ rasa pada quiche
  4. Bakar– Tuangkan filling dan creme royal di atas pie crust dan bakar pada suhu 180 darjah selsius selama 30-35 minit

BAHAN-BAHAN

Pie Crust

400g   tepung gandum

200g   butter (salted)

1 biji    kuning telur

60g      air sejuk

Cara-Cara

Ramas tepung gandum dan butter dengan hujung jari sehingga menjadi seperti serbuk roti. Masukkan kuning telur dan air sejuk, gaul sehingga sebati. Sebaikknya semua bahan-bahan disejukkan terlebih dahulu. Bungkus pie dough dengan plastic wrap dan simpan di dalam peti sejuk sehingga pie dough mengeras (sekurang-kurangnya 2 jam).

Canaikan pie doh dan pindahkan kedalam acuan, 12 inci. Lebihan doh boleh disimpan dan digunakan dalam adunan baru.

Gunakan garfu dan cucuk dasar pie. Simpan di dalam peti sejuk semula sehingga pie doh mengeras. Panaskan oven pada suhu 180 darjah selsius.

Letakkan pemberat  (saya gunakan kacang hitam) di atas pie doh untuk elakkan daripada doh mengelembung dan bakar pie doh selama 15 minit . Keluarkan pemberat dan sambung bakar selama 15 minit (bergantung kepada oven masing-masing).

Keluarkan pie doh dan sapu kuning telur pada tapak pie. Sambung bakar selama 5 minit (lebih kurang). Kaedah ini dipanggil ‘blind bake’ atau separuh masak.

Filling

200g- cendawan butang (potong slice)

100g bawang holland (potong slice)

100g beef pepperoni (potong kecil)

Sedikit minyak, lada sulah dan seasoning maggi

Cara-Cara

Tumiskan cendawan, bawang holland dan beef pepperoni di atas kuali. biarkan bahan-bahan sedikit layu dan masukkan dengan sedikit lada sulah dan seasoning maggi.

Creme Royal

150g  whipping cream

150g  fresh milk

1 biji  telur

1 tsp  chicken powder

Cara-Cara

Pukul semua bahan sehingga sebati

Beef Pepperoni & Mushroom Quiche

1 biji      pie doh (pre baked)

400g     filling

350g     creme royal

100g     cheddar cheese (diparut)

8 biji     tomato cherry (potong dua)

sedikit sos pasta dan serbuk lada hitam

Cara-Cara

Sapukan sos pasta di atas tapak pie. Masukkan filling dan tuang creme royal. Letakkan tomato cherry dan cheddar cheese dengan rata. Akhir sekali taburkan sedikit lada hitam diatas adunan quiche. Bakar pada suhu 180 darjah selsius selama 30 minit atau sehingga adunan menjadi keras dan keperang-perangan.

Selamat mencuba!

 

admin
Author: admin

Baker & Trainer

No Comments

Leave a Comment