Assalamualaikum semua… Apa kabar?
Semoga Allah swt merahmati akak-akak, abang-abang semuanya. Amin…
Menu berbuka semalam saya buatkan roti jala dan gulai daging ‘Pak Salleh’. Kalau sebelum ni saya dah kongsikan murtabak daging ‘Makcik Kiah’, hari ni giliran ‘Pak Salleh’ pulak! =)
Tapikan, menu ni memang ‘special’ sikit sebab resepi asal gulai daging ni saya belajar dari ibu. Resepi roti jala pula dari wife.
Roti jala ni wife buat meniaga masa study di New Zealand dulu. Macam-macam kerja dia buat sambil belajar.
Jual donut, cuci computer, cuci pinggan dekat restaurant. Kira struggle juga dia cari duit tambahan sebab habis study kami plan nak kahwin. Jadi masing-masing kalut cari duit.
Baik, kita terus sahaja ke resepi hari ni.
ROTI JALA

Pelbagai kaedah nak buat roti jala ni sebenarnya. Ada yang masukkan santan, ada yang masukkan susu cair tapi yang ni, saya masukkan air sahaja.
Bahan-Bahan
3 cawan tepung gandum
sebiji telur gred A (gred apa pun tak apa janji telur ayam)
3 1/2 cawan air
1/2 cawan minyak
1 sudu teh garam
4-5 titik pewarna kuning
Cara-Cara
Masukkan semua bahan ke dalam blender dan tekan suis ON. (senang kerja). Kalau tak ada blender, masukkan ke dalam bowl, boleh kacau dengan spatula ka, sudu ka, whisk ka. Janji gaul rata. Lepas tu tapis ye supaya adunan kita halussss…
Panaskan kuali leper dan sapukan sedikit minyak di atas kuali supaya roti jala kita tak melekat dan mudah diangkat.
Masukan adunan kedalam acuan roti jala. Saya pakai botol sos yang ada 5 mata tu dan dah boleh mula mengirai.
Tunggu seminit dua. Nampak kering dan terus pindahkan ke pinggan. Lipat dan gulung mengikut kreativiti masing-masing.

GULAI DAGING
Tak lengkap pula makan roti jala macam tu saja kan. Jadi kita padankan dengan gulai daging. Masa masak gulai daging ni, saya masukkan sedikit gula. Wife terkejut dia kata, mana ada orang masukkan gula dalam gulai. Saya kata ada… Abang masukkan masa masak hari tu dengan ibu. Tak puas hati, terus call ibu tanya. Ibu cakap, mana ada ibu ajar masukkan gula.
Sudahhhh…. Tapi benda dah buat. sayang pulak nak buang.
Tapikan, masa berbuka. Gulai daging ni la yang paling banyak dapat pujian.Habis licin dikerjakannya. Macam tu juga dengan kehidupan kan? Kalau kita silap sikit dan terus berhenti, kita akan gagal. Sebab tu tak boleh putus asa! (gitew)
Bahan-Bahan
800g daging pinang (potong kiub)
3 sudu makan rempah kari daging
2 biji kentang (dipotong dadu)
1 cawan air
180g santan segar (saya beli rm2)
1/2 sudu makan gula (tak masukkan pun tak apa)
1 sudu makan serbuk pasti sedap
garam secukupnya
Bahan Tumis
1 cawan minyak masak
1 biji bawang besar (dipotong kasar)
3 ulas bawang putih (potong halus)
1 inci halia (dihiris)
Rempah tumis – 1 batang kayu manis, 3 biji cengkih, 3 biji bunga lawang, 2 tangkai daun kari
Cara-Cara
Panaskan minyak dan tumis bahan menumis hingga naik bau
Masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air dan biarkan hingga pecah minyak
Masukkan daging dan masak sehingga daging empuk
Masukkan pula ubi dan biar sampai empuk. Kalau kering, tambah sedikit air
Masukkan santan dan renehkan hingga mendidih
Akhir sekali masukkan garam, penambah rasa, gula dan gaul hingga sebati.


Siap juadah berbuka kita… Selamat mencuba.
No Comments