pelabelan makanan

Usahawan Bakeri, Apa yang Perlu ada pada Bungkusan Roti?

Selepas posting resepi Roti Pandan Gula Melaka menjadi tular, ramai yang komen mahupun email kepada saya dan tunjukan hasil roti masing-masing.

MasyaAllah… seronok saya baca dan lihat hasilnya. Yang belum lagi baca posting tersebut, boleh baca di SINI.

Ada yang sudah pasang niat untuk mulakan jualan roti. Saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Sedikit sebanyak niat asal saya untuk lahirkan usahawan roti bumiputera bakal jadi kenyataan.

Gunakan modal apa yang ada. Sekiranya di rumah sudah ada peralatan asas meroti, (mixer dan oven) sudah memadai untuk memulakan perniagaan dari rumah. Cuba pasarkan roti pada kenalan terdekat dahulu. Alaaa… ayat yang selalu kita guna tu, ‘open order’.

Bila sudah ada permintaan, boleh cuba pasarkan di pasar tani atau kedai runcit yang lain. Tapi perlu ingat, ‘pertempuran’ di pasaran runcit sedikit berbeza. Kita perlu bersaing dengan produk yang sudah ada lama di pasaran. Syarikat-syarikat yang lebih besar dan ada nama. Tapi jangan putus semangat, selagi tak cuba selagi tu kita tak tau kan?

Kekadang tu kita sudah ada produk yang baik, cuma dari segi penampilan kita kalah dengan pesaing. Contohnya dari segi bungkusan. Pelanggan akan lebih tertarik dengan bungkusan yang cantik dan mempunyai maklumat yang berguna. Iyelah, roti tu bukan boleh cakap yang dia bagus, dia berkhasiat kecuali kita maklumkan di bungkusan.

makebardo

Sumber gambar dari: packagingoftheworld.com

Untuk posting hari ni, saya akan kongsikan apa maklumat yang perlu ada di bungkusan roti mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (Kementerian Kesihatan Malaysia).

1.Nama Sebutan Sebenar / Nama Produk

Nama sebutan sebenar makanan perlu berdasarkan kepada nama biasa ramuan utamanya.

Contohnya: Peraturan 66. Hasilan doh beryis yang dibakar dan disediakan dari tepung gandum serta air disenaraikan sebagai Roti Putih. Nama saintifik bagi gandum ialah Triticum aestivum, jadi tak perlu lah tulis Roti Triticum aestivum pulak di bungkusan kita walaupun nampak macam hispter.

2.Senarai Ramuan

Semua ramuan yang digunakan perlu dinyatakan pada label makanan kecuali air, aditif makanan dan nutrien yang ditambah. Kesemua ramuan tersebut hendaklah disenaraikan mengikut susunan berat menurun [ 11 (e) ].

Contohnya. Dalam penghasilam roti putih, tepung gandum mempunyai jumlah yang paling banyak. Oleh itu, dalam susunan senarai ramuan, tepung gandum akan ditulis dahulu diikuti dengan pengunaan bahan yang makin sedikit. (rujuk pada gambar di atas)

3. Penyataan Tentang Bahan Aditif

Ada sesetengah pengusaha nakkan rotinya tahan lebih lama. Bahan pengawet yang dibenarkan pengunaannya ialah asid propionik dan garam natrium, kalium dan kalsiumnya, tidak melebihi 2000 mg/kg roti. Peraturan 65 (2)(b). Perlu dinyatakan mengandungi bahan pengawet yang dibenarkan pada bungkusan.

4. Berat Bersih / Isipadu / Bilangan Minimum Isi Bungkusan

Perlu dinyatakan berat bersih pada bungkusan 11. (1)(i). Contohnya berat roti adalah 450g selepas dibakar dan berat itulah yang perlu dinyatakan pada bungkusan

5. Nama dan Alamat Pengilang / Pengimport / Negara Asal

Bagi produk yang dikeluarkan, disediakan, atau di bungkus di Malaysia, label makanan perlulah menyatakan salah satu daripada yang berikut:

(i).  nama dan alamat pengilang atau pembungkus; atau
(ii). nama dan alamat pemunya hak untuk mengilang atau membungkus;
atau
(iii). nama ada alamat ejen daripada (i) dan (ii).

Contoh:

Dikilangkan oleh:

Ritz the BAKER Sdn. Bhd.

Plot 14, Taman Perindustrian,

07000 Kuah Langkawi

Kedah Darul Aman

6. Penandaan Tarikh

Roti dan biskut antara makanan yang wajib diletakkan penandaan tarikh. (Jadual kelima, Peraturan 14)

Penandaan tarikh pada label makanan hendaklah dinyatakan mengikut salah satu format berikut :

(i) “TARIKH AKHIR atau TH AKHIR (masukkan tarikh mengikut hari, bulan dan tahun atau mengikut bulan dan tahun)”.

atau

(ii) “GUNA SEBELUM atau GUNA SBL (masukkan tarikh mengikut hari, bulan dan tahun atau mengikut bulan dan tahun)”.

atau

(iii) “MAKAN SEBELUM atau MAKAN SBL atau MINUM SEBELUM atau MINUM SBL (masukkan tarikh mengikut hari, bulan dan tahun atau mengikut bulan dan tahun)”.

atau

(iv) “BAIK SEBELUM atau BAIK SBL (masukkan tarikh mengikut hari, bulan dan tahun atau mengikut bulan dan tahun)”.

7. Pelabelan Pemakanan

Roti antara makanan yang diwajibkan untuk menyenaraikan maklumat pemakanan di bungkusan. Nutrien yang wajib dinyatakan pada maklumat pemakanan adalah tenaga, protein, karbohidrat dan lemak.

AKAUN YANG DILARANG DALAM PELABELAN

  • Akuan yang menyatakan bahawa mana-mana makanan tertentu akan
    membekalkan sumber yang mencukupi bagi semua nutrien yang penting.
  • Akuan yang membayangkan bahawa suatu diet yang seimbang atau
    gabungan pelbagai jenis makanan tidak dapat membekalkan jumlah yang
    mencukupi bagi semua nutrien.
  • Akuan yang tidak dapat disahkan.
  • Akuan yang mencadangkan bahawa suatu makanan boleh mencegah,
    mengurangkan, merawat atau menyembuhkan penyakit, gangguan atau
    keadaan fisiologi yang lain.
  • Akuan yang menyebabkan pengguna ragu akan keselamatan makanan yang
    serupa.
  • Akuan yang menimbulkan atau mengeksploitasikan rasa takut pada
    pengguna.

Semoga bermanfaat

Rujukan: Akta Makanan 1983 (Kementerian Kesihatan Malaysia)

admin
Author: admin

Baker & Trainer

No Comments

Leave a Comment